KUCHING, 15 Jun: Pembukaan laluan baharu penerbangan terus Kuching – Jakarta diyakini akan membuka pelbagai peluang ekonomi membabitkan Malaysia dan Indonesia.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, laluan berkenaan boleh menjadi pencetus kepada ketersambungan yang lebih luas ke bahagian lain di Indonesia.
Kata beliau, ini seteruskan membolehkan pelbagai perniagaan yang merangsang pertumbuhan ekonomi dapat dijalankan.
“Laluan ini mempunyai kekerapan penerbangan sebanyak tiga kali seminggu dengan waktu perjalanan yang mengambil masa selama sejam 35 minit dan berlepas sekitar pukul 11 pagi dari Kuching.
“Kita berharap laluan penerbangan ini dapat bertahan dan terus berkembang supaya kekerapannya akan dapat dibuat setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir merasmikan pembukaan laluan penerbangan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.
Tambahnya, pembukaan laluan baharu itu menjadikan jumlah penerbangan antarabangsa ke Sarawak setiap minggu meningkat kepada 44 termasuk dari Singapura dan Brunei.
Setakat ini kata beliau perkhidmatan penerbangan keluar masuk Sarawak ditawarkan oleh AirAsia, Malaysia Airlines, Scoot dan Royal Brunei Airlines.
“Kami ingin mengucapkan penghargaan terhadap AirAsia kerana mengambil inisiatif untuk mewujudkan rangka kerja strategik untuk menggiatkan semula industri pelancongan dan memainkan peranan penting untuk mencapai hasil yang disasarkan.
“Jakarta merupakan rumah kepada kira-kira 30 juta penduduk, (oleh itu) kita perlu memanfaatkan peluang pasaran ini bagi pelancongan perubatan, peluang pekerjaan dan perniagaan serta kesan limpahan berterusan,” katanya lagi. -TVS