SIBU, 3 Jun: Seorang juruteknik piano yang menjual tanah milik ayahnya untuk melabur dalam skim cepat kaya berputih mata selepas mengalami kerugian RM180,000.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata mangsa berusia 48 tahun telah melayari internet dan memuat turun applikasi satu pautan pelaburan di laman web sekitar jam 2 petang pada 23 Mei lalu.
“Tertarik dengan pelaburan yang menawarkan dividen tinggi, pengadu bertindak memuat turun aplikasi ‘Jiasang Fortune’ dan menjual tanah ayahnya untuk melabur dalam skim itu,” katanya.
Katanya, mangsa melakukan 20 transaksi pemindahan wang untuk tambah nilai pelaburan sejak 24 hingga 31 Mei ke lapan akaun bank yang berlainan.
Difahamkan pengadu menerima pulangan sebanyak lapan kali yang dikreditkan ke dalam akaun aplikasi Jiasang Fortune.
“Namun dia diberitahu untuk membuat lebih banyak pelaburan agar layak untuk mengeluarkan semua hasil keuntungan pelaburannya,” kata Stanley.
Pengadu yang mengikut arahan khidmat pelanggan untuk menambah nilai pelaburannya terus membuat pemindahan wang sehingga 31 Mei.
Pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut setelah dia gagal membuat pengeluaran hasil keuntungan pelaburan tersebut.
“Suspek berjaya memperdayakan pengadu untuk memasukkan wang ke dalam akaun suspek bagi mendapatkan hasil pelaburan yang tidak wujud,” jelasnya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sumber: Utusan Borneo