KUCHING, 14 Jun: Korea Selatan dan Sarawak akan terus memperkasakan hubungan kerjasama dua hala dalam usaha memperkenalkan teknologi tenaga boleh diperbaharui kepada masyarakat dunia.
Duta Besar Korea Selatan Ke Malaysia, Yeo Seungbae berkata perkara itu dibincangkan bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengadakan kunjungan hormat di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.
Seungbae mendedahkan antara beberapa perkara yang ditekankan dalam pertemuan itu termasuk penggunaan tenaga hijau, hidrogen, penyimpangan karbon serta projek lain.
“Kita telah berbincang dengan Premier Sarawak. Korea dan Sarawak akan terus mengekalkan kerjasama rapat dalam ekonomi menerusi pelbagai sektor merangkumi pembuatan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Secara terperincinya, perbincangan kita menjurus kepada usaha untuk mempromosikan kerjasama Korea Selatan dan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui termasuk pengeluaran hidrogen dan pemerangkapan serta simpanan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di ruang legar Wisma Bapa Malaysia selepas mengadakan pertemuan sekitar 30 minit bersama Abang Johari hari ini.
Seungbae dalam pada itu turut menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama antara Korea Selatan dan Sarawak akan merancakkan lagi ekonomi sekali gus memberi jaminan masa depan yang cerah.
“Saya yakin Sarawak memiliki kelebihan tersendiri, begitu juga Korea Selatan, jadi jika kedua-dua ini bergabung maka ia akan memberikan jaminan masa depan yang cerah.
“Korea Selatan merupakan negara maju dalam teknologi inovasi, sekali gus mampu untuk menghasilkan peluang masa depan menang-menang yang akan memanfaatkan kedua-dua pihak,” ujarnya. TVS