KUCHING, 14 Jun: Kejelitaan seorang wanita keturunan India mengenakan ‘Ngepan Indu Iban’ semasa perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2023, baru-baru ini mencuri perhatian ramai.
Beliau merupakan Dr Suneesha Kaur A/P Gurmeet Singh, 30, yang berkhidmat di Klinik Pergigian Kabong sejak dua tahun ini.
“Saya rasa saya sangat cantik hari ini,” katanya ketika ditemui TVS di Betong pada Sabtu.
Anak jati Pulau Pinang itu mengakui busana tradisional kaum Iban akan menyerlahkan aura kecantikan siapa sahaja yang menyarungnya.
“(Pemakai) akan jadi sangat cantik dengan ini (memakai Ngepan Indu Iban),” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Suneesha mendedahkan dirinya kini boleh bertutur sepatah dua bahasa Iban.
“Boleh…mimit-mimit (sedikit-sedikit)…nadai (tidak)…celap (sejuk)…bolehlah sikit,” katanya sambil berseloroh dengan pemberita.
Terdahulu, pada Sabtu, Dr Suneesha merupakan antara kaum lain termasuk masyarakat Melayu, Cina dan Melanau dalam kalangan warga Betong yang menyertai perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2023.
Difahamkan perarakan yang diketuai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu telah disertai seramai 1,800 peserta. – TVS