KANO, 14 Jun: Lebih 100 orang mati lemas di utara tengah Nigeria selepas bot membawa keluarga yang pulang dari majlis perkahwinan karam di Sungai Niger di negeri Kwara, kata polis dan pihak berkuasa tempatan pada Selasa.
Jurucakap polis Negeri Kwara, Okasanmi Ajayi berkata, 103 orang maut dan lebih 100 diselamatkan dalam tragedi berkenaan.
“Pencarian dan penyelamatan masih diteruskan yang bermakna jumlah kematian mungkin meningkat,” katanya kepada AFP ketika dihubungi.
Pejabat Gabenor Negeri Kwara tidak memberikan jumlah mangsa, tetapi berkata mangsa pulang dari majlis perkahwinan ke daerah Patigi, Kwara.
“Gabenor sedih menerima laporan kemalangan bot yang melibatkan beberapa orang, khususnya penduduk Ebu, Dzakan, Kpada, Kuchalu dan Sampi, semuanya di Patigi.
“Gabenor menyampaikan ucapan takziah kepada penduduk komuniti ini,” kata kenyataan itu.
Tragedi bot karam di Nigeria adalah perkara biasa disebabkan muatan berlebihan, prosedur keselamatan yang longgar dan banjir besar pada musim hujan.
Bulan lalu, 15 kanak-kanak lemas dan 25 yang lain hilang selepas bot yang sarat muatan mereka terbalik di barat laut Negeri Sokoto ketika mereka dalam perjalanan mengutip kayu api.
Hampir tepat setahun sebelum itu, 29 kanak-kanak dari kampung berhampiran turut lemas di sungai yang sama ketika mereka dalam perjalanan untuk mengutip kayu api untuk keluarga mereka.
Ketika banjir besar pada musim hujan Disember lalu, sekurang-kurangnya 76 orang lemas apabila bot mereka karam di sungai di tenggara Negeri Anambra.
Dengan infrastruktur jalan kurang memuaskan sebagai masalah biasa serta penculikan untuk wang tebusan yang menjadi isu utama di sepanjang beberapa lebuh raya, perjalanan bot sungai untuk pengangkutan dan perdagangan adalah perkara biasa di Nigeria.
Pihak Berkuasa Laluan Air Dalam Negeri Nigeria cuba melarang belayar pada waktu malam di sungai untuk mengelakkan kemalangan dan mengatakan kapal lebih muatan adalah kesalahan jenayah, namun tekong dan anak kapal sering mengabaikan peraturan. – AFP