KUALA LUMPUR, 15 Jun: Kerja- kerja pembinaan Hospital Lawas kini mencapai kemajuan sebanyak 60 peratus, kata Lukanisman Awang Sauni.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, projek itu mengambil masa untuk disiapkan disebabkan beberapa faktor termasuk mekanisme dalaman bagi pembinaan hospital yang berbeza dengan bangunan lain.
Kata Lukanisman, ketika ini proses pendawaian, pemasangan gas, kerja mekanikal termasuk di bilik pembedahan sedang dilakukan.
“Ini memerlukan kepakaran dan harus dilaksanakan secara teliti.
“Sebelum ini (pembinaan terlewat) kerana COVID-19 dan ditambah pula dengan faktor geografi Lawas yang jauh menyebabkan pemaju berdepan kesukaran untuk membawa masuk bahan pembinaan,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Berikutan itu tambah Lukanisman, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memanjangkan tempoh Lanjutan Tempoh Masa (EOT) bagi projek Hospital Lawas yang berkapasiti 76 katil ini.
Sementara itu, berhubung permintaan disuarakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong supaya keluasan tanah ditambah, Lukanisman berkata, perkara itu akan diteliti.
Selain itu, beliau juga memberitahu fokus Kementerian Kesihatan (KKM) adalah untuk memastikan Hospital Lawas yang baharu ini mempunyai perkhidmatan doktor pakar untuk memudahkan pesakit mendapatkan rawatan tanpa perlu melalui pintu sempadan Brunei untuk ke Limbang dan Miri.
“KKM bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi memastikan Hospital Lawas boleh mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sipitang yang baharu dan sudah beroperasi,” katanya.
Projek pembinaan Hospital Lawas bermula sejak 2020 dan dijadualkan siap sekitar pertengahan atau suku kedua 2025. – TVS