KUCHING, 15 Jun: Keputusan untuk menyambung semula laluan penerbangan terus Pontianak – Kuching oleh AirAsia akan diketahui sebelum akhir tahun ini.
Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata, setakat ini empat perbincangan telah berlangsung dan sedang menunggu keputusan akhir yang dijangka akan diumumkan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Katanya, beliau yakin perkara itu dapat direalisasikan berikutan faktor permintaan penumpang untuk sektor berkenaan.
“Penerbangan hari ini turut membawa penumpang yang berasal dari Pontianak, (ini) menunjukkan Sarawak dan Indonesia berminat (terhadap laluan Kuching – Pontianak).
“Menerusi kerjasama oleh pemain industri, kita yakin akan dapat merealisasikan perkara ini secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir menyaksikan pendaratan sulung AirAsia laluan Jakarta – Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yiew.
Sebelum ini laluan penerbangan berkenaan ditawarkan oleh AirAsia pada 2017 namun dihentikan ketika penularan COVID-19.
Sementara itu, Kim Shin ketika diminta mengulas cadangan supaya syarikat penerbangan tidak menawarkan perkhidmatan pada awal pagi berkata, keputusan menentukan waktu penerbangan bukan tertakluk sepenuhnya kepada syarikat penerbangan.
“Waktu penerbangan berdasarkan slot yang diberi oleh pengendali lapangan terbang (seperti) Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) yang menguruskan kebanyakan lapangan terbang di Malaysia.
“Ini kita tidak dapat kawal dan mesti akur, jika tidak, kita tidak akan mempunyai masa untuk pesawat mendarat,” katanya.
Ketika sesi Parlimen baru – baru ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah meminta syarikat penerbangan supaya menyusun jadual penerbangan terutamanya pada awal pagi supaya tidak bertembung dengan waktu solat Subuh. -TVS