JAKARTA, 15 Jun: AirAsia secara rasmi melancarkan laluan baharunya dari Jakarta ke Kuching hari ini.
Penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dialu-alukan oleh rakyat Sarawak yang merantau di Jakarta dan begitu juga sebaliknya.
Menurut Pengarah Operasi Penerbangan AirAsia Indonesia, Wuri Septiawan, laluan ke Kuching dijangka menyokong pelbagai bidang.
“Sudah tentu kami faham bahawa kedua-dua negara sedang pulih daripada pandemik COVID-19, yang bermakna usaha diperlukan untuk memudahkan dan memberi kesan kepada kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berharap penerbangan ini dapat membantu mempercepatkan pemulihan dalam bidang pelancongan, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhannya.
Laluan baharu ini adalah selaras dengan hasrat kedua-dua negara untuk meneroka dan mengukuhkan hubungan kerjasama sedia ada serta promosi industri pelancongan yang sedang dipergiatkan.
Kemudian, penerbangan terus AirAsia ini akan menghubungkan Jakarta (CGK) dan Kuching (KCH) tiga kali seminggu. – TVS