Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto Bernama.

Kerajaan Sarawak cadang wujudkan sistem perundangan Ombudsman

KUCHING, 14 Jun: Kerajaan Sarawak bercadang untuk mewujudkan satu sistem perundangan ombudsman sebagai langkah untuk meningkatkan lagi aspek semak dan imbang pentadbiran negeri itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, satu kajian akan dibuat berhubung sistem ombudsman yang diamalkan di Sweden dalam usaha untuk mewujudkan sistem seumpama itu di Sarawak.

“Saya sendiri akan berkunjung ke Sweden bersama pihak peguam negeri dan juga pihak berkepentingan bagi kita mengkaji dengan menyeluruh sistem ini yang (dicadangkan) akan melapor terus kepada DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Seminar Kolaborasi dan Pencegahan Jenayah Kewangan di sini hari ini.

Ombudsman merupakan badan rasmi ataupun separa rasmi yang bertanggungjawab menerima dan menyiasat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara berkaitan jentera kerajaan.

“Sekarang memang kita (sudah) ada sistem ombudsman di bawah seorang timbalan menteri dan kita ada pegawai yang SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) latih, tapi kita hendak mewujudkan (sistem) yang lebih mendalam…bermakna semak dan imbang itu bukan di bawah satu jabatan sahaja,” katanya.

Abang Johari berkata hasil daripada kajian itu nanti akan menjadi asas bagi kerajaan negeri untuk mendraf rang undang-undang berhubung sistem perundangan itu.

“Pada persidangan DUN hujung tahun ini kita akan membentangkan rang undang-undang itu iaitu sistemnya lebih bertanggungjawab dan mengambil pendekatan ‘anda bertanggungjwab kepada DUN, anda tertakluk kepada DUN’,” katanya.

Semasa menjelaskan pemilihan Sweden sebagai negara contoh untuk pelaksanaan sistem itu di Sarawak, beliau berkata negara Scandinavia itu telah memulakannya sejak kurun ke-19 yang menjadikannya sebagai negara dengan tahap integriti yang tinggi.

Menurutnya sistem ombudsman negara berkenaan membolehkan amalan semak dan imbang dapat dilakukan oleh wakil rakyat tanpa mengira mereka adalah penyokong kerajaan atau sebaliknya.

“(Ini membolehkan) keseimbangan dalam kita menguruskan sistem semak dan imbang…kalau tidak, orang akan kata kerajaan bias (kerajaan berat sebelah),” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan