KANOWIT, 13 JUN: Tindakan pantas seorang pemuda berjaya menyelamatkan sebuah lot bangunan yang dijadikan sebagai gereja daripada hangus terbakar dalam kejadian di Jalan Access di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Peolong Penguasa Bomba (PPgB) Arrahman Chik berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 11.15 pagi.
Menurutnya kebakaran dikesan sejurus selepas orang ramai mendapati kepulan asap yang keluar daripada bahagian belakang tingkat dua bangunan tersebut.
“Seramai lapan anggota bomba dari BBP Kanowit telah dikerahkan lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.17 pagi.
“Setiba di lokasi, pihak kami mendapati kebakaran hanya melibatkan sebuah kipas angin berdiri dan telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh seorang lelaki yang mendiami tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dalam pada itu ujarnya lelaki berusia 22 tahun itu telah mematikan suis utama elektrik sebelum memadamkan api dengan menggunakan sebaldi air.
“Pasukan bomba kemudian memastikan keadaan sekeliling selamat dan terkawal sebelum menghubungi pihak Sesco untuk menjalankan pemeriksaan dan mematikan aliran elektrik utama di bangunan berkenaan,” jelasnya.
Operasi ditamatkan pada jam 11.34 pagi. – TVS