GEORGE TOWN, 13 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot nelayan asing dengan muatan kira-kira 500 kilogram (kg) hasil laut selepas dipercayai menceroboh peraiaran negara di sini Ahad lalu dan semalam (12 Jun).
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot dari Indonesia itu ditahan dalam rondaan kapal KM Burau menerusi Op Pertiwi masing-masing pada kedudukan 28 dan 30 batu nautika barat daya Pulau Kendi sekitar pukul 10 pagi.
Menurut Abd Razak, ketika dikesan kru kedua-dua bot terbabit sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di dalam kawasan perairan Malaysia.
Ujar beliau, pemeriksaan mendapati kru berusia antara 13 hingga 20 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati ia dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Indonesia bersama hasil perikanan kira-kira 400 kg ikan campur.
“Menerusi bot kedua, empat kru warga Indonesia termasuk tekong ditahan bersama anggaran 100 kg hasil tangkapan ikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Abd Razak, kesemua kru bersama bot dan hasil laut terbabit kemudiannya dibawa ke Limbongan Batu Maung di sini untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – TVS