SIBU, 12 Jun: Dua tapak di Kuala Rajang di bahagian tengah Sarawak telah dikenal pasti untuk perluasan projek pembiakan mikroalga di negeri itu, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh.
Beliau berkata tapak projek di Selalang dan Hab Halal Tanjung Manis itu akan dibangunkan secepat mungkin dan dijangka dapat memberikan manfaat besar kepada ekonomi penduduk setempat.
“(Buat permulaan) di Selalang dan di Hab Halal Tanjung Manis akan dibangunkan 100 hektar dahulu dan kemudiannya dibesarkan sehingga 2,000 hektar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena sambutan 50 tahun Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di sini, malam tadi.
Sementara itu, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai berkata PUSAKA akan membina sebanyak 200 unit Rumah Spektra Permata (RSP) dengan kos RM20 juta bagi menampung keperluan perumahan di Zon Perindustrian Tanjung Manis, Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah.
Beliau berkata Unit Perancangan Negeri Jabatan Premier Sarawak telah meluluskan tapak untuk projek perumahan tersebut di bawah Skim Penempatan Semula (SPS) Tanjung Manis.
Menurutnya, peruntukan RM20 juta itu adalah di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) telah dipersetujui Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg manakala konsep skim perumahan tersebut sama seperti dilaksanakan di SPS Darul Hana, Kuching dan SPS Kemuyang, Sibu.
“Saya yakin projek ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. Kerajaan akan membina kemudahan infrastruktur seperti jalan, sistem perparitan, bekalan elektrik dan air sejajar dengan dasar perumahan Sarawak,” katanya. – TVS