SIBU, 12 Jun: Kerjasama dan hubungan akrab antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), rumah panjang dan komuniti setempat amat penting dalam menentukan kesejahteraan dan kebajikan penduduk di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, JKKK atau Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang efisien dan pro-aktif dapat menyalur pelbagai maklumat dan permasalahan penduduk di kawasan masing-masing kepada wakil rakyat.
Malah katanya, tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat menjadi lebih mudah apabila berurusan dengan pimpinan kampung atau rumah panjang yang peka dan bijak mengurus.
“Mereka cepat berkongsi maklumat atau membuat aduan perkara yang perlu diberi perhatian dan tindakan. Ada juga pemimpin kampung bijak berurusan dengan agensi kerajaan terutama pejabat daerah.
“Justeru tidak hairan jika kita boleh melihat perubahan yang jelas pada penempatan yang memiliki kepimpinan desa seperti ini,” katanya katanya kepada TVS, semalam.
Beliau juga tidak menafikan terdapat kepimpinan kampung yang kurang dihormati penduduk berikutan pelbagai isu seperti integriti, tidak peka mahu pun berkaitan peribadi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pelbagai usaha akan diteruskan bagi memastikan penduduk rumah panjang yang sebahagian besarnya terletak di kawasan pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Menurutnya, aspirasi penduduk rumah panjang terhadap usaha kerajaan itu terserlah melalui pelbagai pemohonan mereka sepanjang kunjungan beliau sempena Majlis Ngiling Bidai sejak Sabtu lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama agar setiap agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan sempurna.
“Sebenarnya dari segi pengurusan pembangunan tidak sukar, tetapi yang mereka perlukan ialah lebih banyak ke arah baik pulih rumah panjang.
“Permohonan beberapa infrastruktur lain seperti melebarkan jalan masuk ke rumah panjang berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang masuk ke kampung, tempat letak kereta, kemudahan sukan untuk belia kampung dan lain-lain lagi,” katanya.
Selain itu ujarnya, masalah telekomunikasi turut dibangkitkan apabila ramai dalam kalangan penduduk di kawasan terbabit mahu isu capaian internet diselesaikan dengan segera.
Susulan itu katanya, beliau akan berbincang dengan agensi yang berkaitan supaya kemudahan berkenaan dapat dinikmati sepenuhnya bukan sahaja penduduk rumah panjang tetapi juga seluruh warga di DUN Semop.
Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) bersama isteri, Datin Nora Ashikin Ibrahim meneruskan kunjungan sambil menyantuni penduduk di tiga buah lagi rumah panjang sempena program Ngiling Bidai di DUN Semop.
Majlis masing-masing berlangsung di Kampung Berangan, Dewan Serbaguna Telok Gelam dan Rumah Wun Bakerkong.
Sebelum itu, beliau turut berkesempatan bersama memeriahkan sambutan Ngiling Bidai di Rumah Baja Galau, Nanga Bangkit, Rumah Bisa Melintang Sungai Sian dan Rumah James Berandah Kasen di Muara Bunut Bintangor.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, satu mini karnival bakal diadakan di Rumah Jinggai, Kelai Pulau Bruit pada 17 Jun ini yang dijangka dimeriahkan dengan kehadiran masyarakat Pulau Bruit.
Program itu katanya, agak unik kerana Rumah Jingga merupakan satu-satunya rumah panjang daripada 13 penempatan di kawasan berkenaan. – TVS