KUCHING, 12 Jun: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat dari Korea Selatan esok bagi memulakan kajian kebolehlaksanaan projek amonia dan hidrogen hijau (H2biscus Sarawak).
Pengerusinya,Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, tiga syarikat berkenaan ialah Samsung Engineering, Posco dan Lotte Chemical yang membuka laluan untuk produk dihasilkan dieksport ke negara berkenaan.
Kata beliau, perkembangan mengenai projek tersebut dan projek lain akan dilakukan untuk memastikan ia berjalan dengan lancar.
“ (Kajian akan) mengambil masa kira-kira setahun. Jika semuanya berjalan lancar, projek ini akan dimulakan pada 2024 dan penghasilan produk dijangka siap pada pertengahan atau sekitar 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini hari ini.
Berkenaan kunjungan itu, Abdul Aziz memberitahu, ia turut dihadiri wakil daripada tiga syarikat berkenaan yang bertujuan untuk memaklumkan kepada Abang Johari mengenai perkembangan kajian kebolehlaksanaan Projek H2biscus.
“Projek H2biscus merupakan skala terakhir pengeluaran hidrogen bagi pertukaran kepada amonia untuk dieksport ke Korea Selatan,” katanya lagi.
Turut hadir, Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Datu Abdul Kadir, Pengurus Besar Korea National Oil Corporate, Jang Jin Hwan dan Pengarah H2Korea, Lee Hye Jin. -TVS