KUCHING, 12 Jun: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak akan dilangsungkan bermula 17 hingga 24 Ogos, kata Hannah Yeoh.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, persetujuan berkenaan dicapai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) berlangsung hari ini.
Kata beliau, mesyuarat juga bersetuju sebanyak 37 jenis sukan bakal dipertandingkan.
“Temasya edisi Ke-21 akan dilangsungkan di lapan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai oleh rakyat di seluruh negeri berkenaan kecuali acara basikal trek yang akan diadakan di Semenanjung Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media di Putrajaya hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu, beliau memaklumkan, mesyuarat telah membincangkan rayuan daripada tujuh sukan untuk dimasukkan dalam SUKMA 2024.
“(Keputusan) mesyuarat bersetuju untuk memasukkan lima sukan yang telah mempunyai Kejohanan Remaja Kebangsaan iaitu softball, kriket, catur, kabaddi dan silambam.
“Sarawak selaku hos dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju agar sukan ini turut dipertandingkan pada SUKMA 2024 dan 2026,” katanya.
Namun jelas beliau, kesemua sukan berkenaan perlu mendapat penyertaaan dari enam negeri. -TVS