KUCHING, 12 Jun: Projek mega yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak menyokong usaha global mengurangkan pencemaran, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ke arah mencapai komitmen pelepasan karbon sifar bersih atau net-zero emissions menjelang 2050, Premier Sarawak itu berkata, beberapa projek mega telah dimulakan untuk memaksimumkan faedah sosial ekonomi serta pada masa sama, mengurangkan jejak karbon.
Kata Abang Johari, bagi mengurangkan perubahan iklim, aspek pembangunan, promosi serta penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui merupakan salah satu penyelesaian.
“Sarawak amat bertuah kerana kita dikurniakan dengan sumber alam yang melimpah ruah.
“Kita mempunyai kuasa hidro boleh diperbaharui, yang dijana daripada empangan mega dan kini Kerajaan Sarawak melihat perkara ini dengan lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Hutan Simpan Kekal dan Konservasi 2023, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad.
Mengulas lanjut usaha Sarawak ke arah ekonomi yang lebih lestari, Abang Johari berkata, pihaknya juga telah memulakan kajian menghasilkan produk biojisim untuk kegunaan trak.
Sebelum ini Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pusat Biodiversiti Sarawak (SCB) telah bekerjasama dengan syarikat Jepun, Chitose Group bagi mengoperasikan loji kuasa tenaga hijau berasakan alga.
Loji itu mengeluarkan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk kegunaan pesawat di seluruh dunia.
Sementara itu, Abang Johari berkata, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy kini bekerjasama dengan syarikat Jepun bagi menghasilkan hidrogen hijau untuk kegunaan domestik dan bakal dieksport ke Jepun dan Singapura.
“Tahun lepas, Sarawak Energy dan SEDC Energy bekerjasama dengan firma Korea Selatan untuk meneroka pengeluaran amonia hijau, metanol hijau dan hidrogen hijau dengan matlamat untuk mengkomersialkannya menjelang 2027.
“Dengan tenaga boleh diperbaharui ini, kita (Sarawak) yakin boleh menyumbang kepada pengurangan penggunaan petroleum, pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran udara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad berkata, Sarawak berjaya mencatat rekod tertinggi di Malaysia untuk jumlah pokok baharu yang ditanam iaitu hampir 22 juta pokok.
Katanya, ia dilaksanakan melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dimulakan pada 2021. – TVS