BETONG, 11 Jun: Orang ramai diseru supaya mengutamakan pembelian lada hitam Sarawak bagi menyokong petani tempatan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, sokongan yang diberikan dapat memberi impak besar kerana penanaman lada merupakan antara sumber rezeki utama penduduk di sini.
Kata beliau, minat terhadap lada hitam Sarawak juga akan membantu meningkatkan pasarannya.
“Sokongan yang diberikan kepada industri ini juga dapat membaiki ekonomi petani dan seterusnya meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat plot tanaman lada di Rumah Panjang Nanga Jelau, di Layar di sini hari ini.
Sementara itu, Gerald Rentap berkata, Sarawak berhasrat untuk menjadi pusat ekonomi utama bagi pasaran lada dengan membina rangkaian untuk kelangsungan industri itu.
“Dengan memasarkan lada hitam Sarawak ke Sabah dan Kalimantan, Indonesia yang mempunyai populasi sebanyak 3.5 juta dan 26 juta penduduk, kita dapat membina rangkaian untuk kemampanan industri tanpa bergantung kepada barangan import,” katanya lagi.
Plot tanaman lada itu merupakan kawasan kajian Lembaga Lada Malaysia (LLM) menggunakan tiang sokongan polyviynyl chloride (PVC) sebagai alternatif kepada tiang kayu belian yang kosnya lebih tinggi.
Untuk rekod, Bahagian Betong merupakan pengeluar komoditi lada terbesar di Sarawak. – TVS