BINTULU, 11 Jun: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kebijaksanaan berpolitik yang diamalkan oleh rakyat Sarawak membolehkan mereka menjadi kuat dan seterusnya memperjuangkan hak dengan lebih berkesan.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, mereka juga perlu berpolitik dengan niat yang betul dan bekerjasama dengan mana – mana parti untuk memperjuangkan masa depan rakyat Sarawak.
“Apabila kita bersatu, sudah tentu ‘tiang rumah’ akan kuat, jika sebaliknya (akan) robohlah rumah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tri-Tahunan Parti Demokratik Progresif (PDP) 2023 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, rakyat tidak seharusnya mengambil risiko termasuk berpecah belah kerana ianya boleh menjejaskan kestabilan yang dikecapi di Sarawak selain boleh merencatkan pembangunan pesat yang sedang berlaku di sini.
“(Usaha) membinanya bukanlah mudah (kerana berdepan pelbagai cabaran untuk) kita membina Sarawak sejak 60 tahun.
“Oleh itu, kita mahu pertahankan yang sudah dikecapi dan terus memajukan negeri kita,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata, langkah mewujudkan GPS merupakan keputusan tepat kerana ianya menjadi platform kepada pemimpin dan rakyat Sarawak memperjuangkan masa depan mereka.
“(Ini termasuklah) mendapatkan semula hak-hak yang terhakis yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Pada majlis sama, Abang Johari turut mengulangi tekad beliau dan rakan gabungan di bawah panji GPS untuk terus membangunkan Sarawak dan memajukan ekonominya.
“GPS semestinya mempunyai dasar yang jelas untuk memajukan ekonomi Sarawak dan memberi semula kepada rakyat Sarawak melalui pembangunan.
“Sudah menjadi niat GPS, sekiranya kedudukan kewangan negeri baik, kita merancang untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada setiap warga Sarawak yang meneruskan pengajian di universiti tempatan di Sarawak,” katanya.
Abang Johari berkata, rekod pengurusan ekonomi Sarawak juga menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini.
“Bagi suku pertama 2023, kita pungut sebanyak RM5 bilion.
“Sudah tentu akan lebih (hasil) namun jangan kita berbelanja kerana harus juga menyimpan.
“Oleh sebab itulah, kita tubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat. Insya- Allah akan dimulakan pada tahun depan untuk masa depan anak Sarawak,” katanya. -TVS