Gabenor BNM yang baharu, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, bukan orang baharu dalam badan berkanun itu.
Beliau menyertai BNM pada 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 2016.
Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015. Abdul Rasheed juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Sektor Kewangan.
Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan juga mempunyai MBA daripada Saïd Business School, Oxford University.
“Abdul Rasheed juga mempunyai personaliti yang menarik dan disukai ramai kerana keterbukaan beliau untuk mendengar dan menerima pendapat daripada orang lain,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.
Inflasi Malaysia pada masa ini adalah terkawal, memberi ruang kepada bank pusat untuk meneruskan ‘tangguh bersyarat’, kata Penolong Gabenor BNM Fraziali Ismail kepada Bloomberg baru-baru ini.
Bagaimanapun, paras inflasi semasa Malaysia sudah pasti akan menjadi bidang tumpuan utama untuk Abdul Rasheed, yang tempoh lima tahunnya berkuat kuasa pada 1 Julai 2023.
Beliau akan mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun 2023.
Kuasa pasaran merencanakan bahawa gabenor baharu perlu berusaha untuk memastikan inflasi berada dalam julat optimum yang dapat membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara tanpa mengurangkan kuasa beli mata wang.
Inflasi adalah antara isu utama yang memberi impak kepada negara berikutan ia boleh mempengaruhi pergerakan pertumbuhan ekonomi, selain faktor utama dalam menentukan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Bank pusat menjangka inflasi keseluruhan dan teras akan sederhana sepanjang tahun 2023, dengan purata antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus.
Oleh itu, melaksanakan peranan BNM dalam menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan adalah sama penting dengan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Ditanya sama ada akan berlaku perubahan dalam OPR dengan adanya gabenor baharu, Mohd Afzanizam, yang juga Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat berkata OPR perlu terus dinilai berdasarkan data yang diterima.
“Selain itu, kehadiran dua ahli luar dalam MPC akan memastikan integriti struktur tadbir urus dan membuat keputusan yang baik. Justeru, kesinambungan dasar dapat dijamin,” katanya.
BNM telah mengurangkan OPR kepada paras terendah pada 1.75 peratus pada Julai 2020, untuk meningkatkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Ia dikekalkan sehingga Mei tahun lepas sebelum bank pusat menaikkan OPR sebanyak lima kali (Mei 2022, Julai 2022, September 2022, November 2022 dan Mei 2023) dan setiap kali itu sebanyak 25 mata asas.
Kenaikan terkini oleh BNM membawa kadar OPR kembali kepada paras sebelum COVID-19 iaitu 3.00 peratus.
Mengenai impak terhadap ringgit, ahli ekonomi itu berkata BNM konsisten dalam mesejnya bahawa mata wang bukan alat dasar mereka.
“Sekali-sekala, terdapat campur tangan pasaran oleh BNM tetapi semata-mata untuk melancarkan turun naik mata wang. Secara ringkasnya, ringgit akan ditentukan oleh kuasa pasaran,” kata Mohd Afzanizam.
Ringgit rendah dan berada pada paras 4.60 berbanding dolar AS manakala FBM KLCI merosot di bawah paras 1,400 berikutan ketidaktentuan luaran dan dalaman.
Sehingga 9 Jun 2023, mata wang tempatan ditutup pada 4.6115/6160 berbanding dolar AS.
Bekas Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim menyambut baik pelantikan Abdul Rasheed dan yakin gabenor baharu itu akan berjaya dalam memacu kestabilan monetari dan kewangan negara.
“Beliau adalah calon yang tepat dan paling sesuai. Etika kerja Abdul Rasheed yang kuat, pendekatan kolaboratif dan inklusif telah memberikan perkhidmatan yang baik kepada bank dan negara,” katanya.
Muhammad berkata tanggungjawab seorang pegawai bank pusat sentiasa mencabar berdasarkan keperluan untuk mengimbangi kepentingan pelbagai pihak berkepentingan dalam persekitaran kewangan dan ekonomi global yang semakin mencabar.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli berkata Abdul Rasheed telah memainkan peranan penting dalam membangunkan pelan tindakan kewangan berimpak tinggi untuk memacu ekonomi negara.
“Pemahaman beliau yang luas mengenai ekonomi domestik, serantau dan global merupakan kelebihan besar untuk negara kita dan kami yakin industri perbankan akan terus berkembang maju di bawah kepimpinannya,” kata Khairussaleh, yang juga Pengerusi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM). -TVS