PUTRAJAYA, 3 Jun — Meskipun sudah lebih setahun negara berjuang memerangi wabak COVID-19, namun kesedaran masyarakat tentang bahaya penyakit ini masih belum dapat mengubah tingkah laku dan tindakan dalam menghadapi virus maut itu.
Ini dapat dilihat apabila masih ada yang tidak jujur dengan status kesihatan mereka yang terdedah atau menjadi kontak rapat pesakit COVID-19 ketika hadir untuk menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD).
Perkara tersebut dikongsikan Pakar Perubatan Kecemasan dan Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya Dr Khairul Nizam Hassan apabila tindakan tersebut telah membawa kesan buruk bukan sahaja kepada petugas kesihatan di ETD tetapi juga kepada orang lain yang menerima rawatan.
“Tidak jujur itu masih berlaku sehingga kini dan tidak tahu apa sebab mereka bertindak demikian. Bila seseorang tidak berkata benar, kita merekod mereka sebagai tidak bergejala dan tiada kontak, yang akan disalurkan ke satu tempat bersama-sama dengan pesakit lain yang tiada kaitan langsung dengan COVID-19.
“Ini mendedahkan virus itu kepada orang lain terutama golongan lanjut usia dan mereka yang berisiko hanya disebabkan sikap mendiamkan maklumat yang benar tersebut. Jadi…boleh nampakkan kesannya bagaimana?” katanya kepada Bernama baru-baru ini.