KUCHING, 9 Jun: Hotel di bandar raya ini menerima tempahan bilik penginapan yang banyak menjelang Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 pada 23 hingga 25 Jun.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan itu satu petanda baik sekali gus memberikan indikasi sektor pelancongan terus berkembang selepas pembukaan sepenuhnya sempadan negara.
“Ini merupakan satu masalah yang bagus kerana ia menunjukkan industri ini sedang memulih dan saya sangat gembira melihat ini berlaku,” katanya pada sidang media Majlis Apresiasi Penaja RMWF 2023 di sini, hari ini.
Beliau berkata, aspek penginapan sering menjadi cabaran apabila berlansungnya acara-acara bertaraf antarabangsa.
Namun begitu, ia harus dilihat dari sudut positif kerana ia membantu perniagaan hotel-hotel bertaraf empat atau lima bintang.
Pada masa sama ia juga akan membolehkan kemunculan lebih banyak bentuk penyedia perkhidmatan penginapan lain termasuk inap desa.
Katanya keadaan itu secara tidak langsung turut menarik kehadiran pelabur untuk menyediakan perkhidmatan terbabit di Sarawak.
“Kita perlukan sektor swasta untuk bersama-sama dalam usaha menyediakan perkhidmatan penginapan ini.
“Ia tidak perlu atau seharusnya hotel bertaraf lima bintang sebaliknya jika dapat mebina hotel bertaraf tiga atau empat bintang itu sudah mencukupi,” katanya.
Tempah tiket sekarang di rwmf.net – TVS