KUCHING, 9 Jun: Pelancaran stesen radio terbaharu, KUPIKUPI FM Sarawak dijangka merancakkan lagi saingan dalam industri radio.
KUPIKUPI FM menerusi kenyataan pada majlis pelancaran di sini, hari ini berkata stesen berkenaan tampil dengan slogan ‘Sama Dirik Pok’.
“KUPIKUPI FM Sarawak yang beridentitikan tempatan juga bakal membawakan muzik tempatan dan maklumat terkini di Sarawak selain mencetuskan inspirasi kepada para pendengar.
“Stesen radio ini bukan sahaja berasaskan hiburan muzik namun ia bakal menampilkan segmen ilmiah dengan tetamu yang dijemput bakal berkongsi cerita seterusnya memupuk motivasi buat pendengar,” kata kenyataan itu.
Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.
Snowdan berkata, KUPIKUPI Sarawak FM boleh menjadi platform yang mengetengahkan kekayaan budaya, tradisi dan bakat anak-anak Sarawak.
“Ini merupakan satu langkah yang proaktif yang kita lihat berani dalam melancarkan lagi stesen radio.
“Saya tertarik dengan slogan mereka dimana ia lebih merangkumi kepada etnik kita seterusnya menjadi sebahagian daripada keluarga ‘Radio Orang Kita’,” katanya pada sidang media.
Melalui misi perpaduan Borneo, KUPIKUPI FM Sarawak juga bakal mengetengahkan kekayaan budaya, tradisi dan bakat anak-anak Sarawak.
Antara segmen yang ditonjolkan di KUPIKUPI FM Sarawak termasuk ‘Kupi Jem’, ‘Kacak Tipot’, ‘Jungo Krem’, ‘Rona roni’ dan ‘Sekoh Pagi’ bersama enam penyampai radio iaitu Abang Lan, Leez, Ezmir Sadriq, Jalee, Wena dan Maria.
KUPIKUPI Sarawak FM boleh didengari di frekuensi 92.5 Mhz. Laman web rasmi KupiKupi FM Sarawak di https://sarawak.kupikupifm.my/ – TVS