KUCHING, 9 Jun: Usaha memajukan perkhidmatan awam sentiasa berterusan dengan melengkapkan penjawat awam dengan latihan dan pembangunan bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas lebih cekap.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, latihan dan pembangunan amat mustahak memandangkan sektor perkhidmatan awam pada masa ini semakin kompleks.
“Adalah penting bagi penjawat awam kita dibekalkan dengan peluang latihan dan pembangunan yang diperlukan yang membolehkan mereka melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dan menggunakan potensi mereka setinggi-tingginya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Raya-Ngiling Bidai Gawai Dayak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS), di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi SPANS Datu Dr Sabariah Putit, dua Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta Datu Buckland Bangik dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Abang Johari berkata lagi, SPANS mempunyai peranan bukan sahaja menemuduga calon-calon untuk memasuki perkhidmatan awam negeri.
Menurutnya, SPANS juga bertanggungjawab mengesahkan, menentukan status perjawatan tetap atau berpencen, menaikkan pangkat, memindahkan dan melaksanakan kawalan tatatertib penjawat awam.
“Adalah penting bagi saya untuk memberi gambaran lanjut mengenai peranan Suruhanjaya seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 36 (1) Perlembagaan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, SPANS dan unit pembangunan sumber manusia serta agensi yang berkaitan turut memainkan peranan penting dalam menyelia pembangunan dan kemajuan perkhidmatan awam di Sarawak. – TVS