MIRI, 9 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengetuai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka dari Miri ke Bintulu sejauh 168.3 kilometer, esok (Sabtu).
Kembara tersebut bakal disertai seramai 268 peserta yang menggunakan 56 kenderaan pacuan empat roda, 81 motosikal dan lapan bas, motorhome, ambulans serta kenderaan kerajaan.
Konvoi itu akan akan bermula dengan pelancaran Pameran Digital Sarawak Merdeka 60 Tahun oleh Abang Johari sebelum para peserta dilepaskan oleh Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian di Stadium Tertutup Miri.
Konvoi terbabit akan melakukan dua persinggahan ke dua lokasi iaitu Pantai Bungai, Miri dan Nyalau, Bintulu sebelum berakhir di Naim Street Mall, Bintulu.
Abang Johari turut dijadual menyantuni komuniti tempatan bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan patriotisme sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Di Bintulu, Abang Johari akan menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Komuniti di Hotel Parkcity Everly pada malam Sabtu.
Hari ini, raptai penuh bagi Majlis Pelancaran Konvoi Kembara Sarawak Merdeka dan Pameran Digital Sarawak berjalan lancar di Stadium Tertutup Miri.
Persiapan akhir itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan timbalannya, Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Miri Jamalie Busri serta timbalannya, Juan Ubit. – TVS