Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap semasa perayaan Gawai Dayak 2023 diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Kerajaan Sarawak komited tingkatkan taraf hidup komuniti Dayak – Abang Johari

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 7 Jun: Kerajaan Sarawak komited meningkatkan taraf hidup komuniti Dayak, tegas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, beliau menggesa komuniti Dayak untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan berikutan ia merupakan kunci kejayaan untuk meningkatkan kehidupan mereka agar setaraf dengan komuniti lain.

Selain itu, beliau meminta komuniti itu untuk memanfaatkan serta mengusahakan tanah mereka sepenuhnya yang diyakini akan memberikan pulangan lumayan kepada ekonomi.

“Satu perkara yang perlu kita akui ialah Dayak mempunyai tanah, dan kita perlu memonopoli tanah tersebut melalui teknologi, dan kemudian kita juga berharap agar memberi penekanan kepada pendidikan kerana hanya dengan pengetahuan sahaja kita dapat mengubah kehidupan kita dan mempunyai masa depan yang cerah.

“Kita diberkati dengan aset seperti tanah, jadi gunakanlah aset ini untuk meningkatkan aset (nilai komersial) lain bagi komuniti Dayak.

“Tahniah kepada komuniti Dayak kerana dapat bekerjasama dengan kami (kerajaan negeri) dan tentunya kami mempunyai pendekatan untuk memartabatkan komuniti Dayak seperti komuniti lain. Apa sahaja pendapatan yang kami miliki, kami akan mengembalikannya kepada rakyat,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapannya pada perayaan Gawai Dayak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, bercakap mengenai sambutan malam ini, Abang Johari menyifatkan ia merupakan sebahagian daripada budaya yang ada di Bumi Kenyalang sekali gus ia perlu dipelihara oleh rakyat negeri ini khususnya dalam kalangan komuniti Dayak.

“Walaupun dari latar belakang, kepercayaan, dan agama yang berbeza, kita mempunyai konsep yang sama, ‘cubit kanan, kiri sakit, cubit kiri, kanan sakit’.

“Inilah Sarawak, menyentuh satu orang bermakna menyentuh semua orang, bermakna kita akan membela diri demi masa depan Sarawak,” tegasnya.

Direkodkan seramai 1,800 tetamu memeriahkan perayaan Gawai Dayak 2023 malam ini yang telah diserikan dengan beberapa persembahan nyanyian dan tarian pentas.

Persembahan yang memukau antaranya ‘Gendang Pampat’; persembahan oleh artis tempatan Ricky El, Melissa Francis, Rozzie Mila, dan Eddie Kuwing; dan juga bacaan ‘Biau Pengabang’ (ucapan doa untuk mencari rahmat bagi acara tersebut) oleh Ketua Latihan, Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Dr. Charlie Dundang.

Perayaan turut menyaksikan perarakan pakaian tradisional oleh lelaki dan wanita yang mewakili komuniti etnik Sarawak.

Kemuncak sambutan diraikan dengan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib memimpin ‘Nyeradak Ai Pengayu’ (pelancaran majlis) bersama tetamu kehormat yang lain di majlis berkenaan.

Simbolik perasmian turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Abang Johari dan isterinya, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri beliau, Datin Amar Doreen Mayang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan