KUCHING, 1 Jun: Tradisi kunjung-mengunjung serta rumah terbuka setiap perayaan termasuk Hari Gawai Dayak merupakan peluang untuk mengeratkan lagi perpaduan antara penduduk berbilang kaum dan agama.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkannya sebagai satu jambatan perpaduan yang harus terus dibina untuk memahami antara satu sama lain.
“Pada Hari Gawai, anda boleh lihat budaya kaum Dayak seperti tarian dan pakaian. Sama juga seperti Hari Raya yang mana anda boleh melihat orang Islam merayakannya dan mengenali budaya orang Melayu.
“Ia juga sama dengan sambutan Tahun Baharu Cina. Sambutan sebegini benar-benar merapatkan lagi hubungan kita semua sebagai orang Sarawak,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2023 di sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Hadir sama, dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Tambahnya, rakyat Sarawak sangat bangga dengan keharmonian antara kaum yang ada diwarisi sejak turun temurun dan ia harus diteruskan malah dieratkan lagi.
“Keharmonian kaum mesti terus dipupuk kerana ia merupakan pemangkin kepada pembangunan. Ia merupakan kekuatan kita. Ia sekali gus membolehkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat melaksanakan segala program yang dirancang,” ujarnya.
Majlis ini merupakan anjuran pemimpin-pemimpin Dayak Sarawak yang diketuai Uggah.
Ia juga merupakan yang pertama kali dianjurkan secara bersama bagi menunjukkan perpaduan rakyat Sarawak. – TVS