SETIAP kali musim perayaan, produk kraf tangan Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Kelabit, Berawan, Kayan, Kenyah dan Penan yang dijual di Pusat Kraftangan Miri di Jalan Brooke, Miri sering menjadi tumpuan pengunjung.
Wartawan TVS sempat meninjau pusat berkenaan untuk mengenali lebih dekat kepada usahawan-usahawan tempatan di Miri. Tinjauan mendapati barangan kraf tangan dijual pada harga berpatutan.
Bagi Norsiati Ibrahim yang sudah berkecimpung dalam perusahaan beg anyaman rotan selama lebih 20 tahun, produk-produk yang dipasarkan bukan sahaja mendapat sambutan ketika perayaan Gawai, malah setiap musim perayaan.
“Beg rotan kami diperbuat daripada rotan asli oleh orang Penan yang dihasilkan di kampung mereka dan kemudiannya menjual hasil mereka di sini.
“Alhamdulillah, beg rotan ini mendapat sambutan hangat setiap kali perayaan di Sarawak sehinggakan saya mempunyai pelanggan tetap yang datang jauh dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Pemilik Chan Craft, Chan berkata produk jualannya datang dari Long Jekitan, Baram.
“Saya di sini menjual berbagai barangan keperluan harian sepertilah baju burung, sirat, tabit, baju gagong dan pelbagai lagi dan kalau pelancong-pelancong luar, mereka gemar untuk membeli baju kelawar, manik, rantai, dompet dan tas tangan manik.
“Menariknya, kraf tangan yang anda lihat di sini adalah semuanya buatan sendiri seperti beg rotan diperbuat oleh pengusaha Long Jekitan, Baram serta beberapa lagi kawasan pedalaman,” ujarnya.
Sebelum ia dijadikan sebagai pusat kraf tangan, tempat tersebut dikenali sebagai Dewan Masyarakat Miri yang dibuka pada 16 Ogos 1958. Ia kemudiannya dijadikan sebagai Pusat Kraftangan Miri pada 2001.
Kemudian, ia ditutup pada 2016 untuk pengubahsuaian dan kemudiannya dibuka semula pada 27 Januari 2018.
“Apabila pusat kraftangan baharu dibuka semula, ramai yang datang kembali tetapi sesetengah vendor lebih suka untuk menjual di High Street.
“Ini bermakna di Miri, kita mempunyau dua pusat kraftangan di Miri untuk dipilih oleh pengunjung sama ada di High Street atau di Brooke Street,” katanya. – TVS