MIRI, 5 Jun: Ketua Rider meluahkan perasaan teruja dan bangga menyertai konvoi Sempena menyambut Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka hari ini.
Ketua Konvoi Permaisuri Riders Miri Group, Zakaria Bakri, 47, berkata, walaupun hari ini merupakan hari kedua konvoi diadakan di Bahagian Miri, namun semangat sentiasa berkobar-kobar untuk meneruskan konvoi berkenaan.

“Walaupun hari ini, hari kedua konvoi di Bahagian Miri namun perasaan saya untuk menyertai konvoi tetap bersemangat dan bersungguh-sungguh kerana setiap hari pergi ke tempat yang lain.
“Contohnya hari ini pergi ke Kampung Beraya, Sibuti, Pekan Bekenu, Pekan Batu Niah, Taman Negara Batu Niah dan akhir sekali Waterfront Fasa ll, Sepupuk yang mana kesemua laluan yang dilalui lebih 100km untuk hari ini.


Katanya, hari ini juga terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh kumpulannya sepanjang perjalanan ke setiap stesen ke stesen yang lain.
“Cabaran yang perlu kami tempuhi ialah hujan lebat di kawasan Sibuti dan kawasan Niah tadi, namun perjalanan perlu diteruskan juga kerana itu dapat dijadikan pengalaman sepanjang hidup,” katanya kepada TVS.
Ditanya mengenai harapan sempena menyambut Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka, Zakaria berharap Sarawak akan lebih maju dan akan ada perubahan dari segi pembangunan secara berterusan dibawa kerajaan.

‘Saya juga berharap sempena kita menyambut 60 Tahun Sarawak Merdeka ini dapat melihat lebih lagi dari segi pembangunan yang dipimpin oleh Premier Sarawak kita,” katanya lagi.
Program Flag Off Konvoi Kembara Daerah Miri sempena Sambutan Sarawak Merdeka Bahagian Miri dilancarkan sekitar jam 9.30 pagi oleh Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri.
Pasukan Konvoi Kembara Bahagian Miri juga akan ke semua daerah di Bahagian Miri tanpa meninggalkan mana-mana daerah dengan berlepas ke beberapa lokasi di Daerah Miri hari ini, seterusnya ke daerah Telang Usan pada 6 Jun dan ke daerah Marudi pada 7 Jun. –TVS