Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato' Mohd Azman Ahmad Sapri. Foto: TVS

Suspek curi kenderaan di Tatau diberkas ketika mendapatkan rawatan terkena tembakan

BySaibi Gi

KUCHING, 5 Jun: Dua suspek dalam kes curi kenderaan di Tatau diberkas polis ketika mendapatkan rawatan di Hospital Betong pada petang semalam, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri.

Menurutnya, pada 1 tengah hari, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Betong menangkap seorang suspek lelaki yang sedang mendapatkan rawatan akibat terkena satu tembakan di bahagian lengan kanan dan satu tembakan di bahagian pinggang sebelah kanan di Wad Kecemasan, Hospital Betong.

Turut diberkas bersama lelaki tempatan berumur 38 tahun ini ialah seorang suspek wanita tempatan berumur 34 tahun. 

Tangkapan itu merupakan susulan insiden kejar-mengejar antara polis dan suspek pada awal pagi, 4 Jun, di Tatau.

“Lebih kurang 1.09 pagi, sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner telah dicuri dan dilarikan oleh beberapa orang saspek yang tidak dikenalpasti di Pasar Baru Tatau,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada 3.40 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tatau terserempak dengan tiga kenderaan jenis Toyota Fortuner, Toyota Hilux dan Produa Viva yang dalam keadaan mencurigakan di KM82, Jalan Sibu – Bintulu, Mukah.

Ketika menghampiri untuk pemeriksaan, tiba-tiba kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Fortuner memecut laju ke arah pasukan polis. 

“Pasukan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah hadapan dan tayar kedua-dua kenderaan tersebut dengan tujuan untuk menghentikan tindakan dan kenderaan suspek namun kesemua kenderaan saspek berjaya meloloskan diri,” jelasnya.

Kedua-dua kenderaan kemudiannya telah memecut dengan laju dan merempuh sekatan jalan raya yang didirikan oleh pasukan dari Balai Polis Selangau lebih kurang 300 meter dari tempat kejadian awal dan hampir melanggar anggota bertugas. 

“Pasukan polis terus mengejar kedua-dua kenderaan tersebut dan mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner terbabas di tepi jalan dan suspek-suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan Toyota Hilux.

“Kenderaan jenis Toyota Fortuner yang terbabas telah dirampas dan disahkan kenderaan yang dicuri di Pasar Baru Tatau,” katanya.

Mohd Azman berkata lagi, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai lapan rekod kesalahan mencuri kenderaan, satu rekod kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan satu rekod kesalahan mencuba membunuh orang.

Siasatan akan dijalankan dibawah Seksyen 379A Kanun Kesiksaan iaitu mencuri kenderaan motor dan Seksyen 307, Kanun Keseksaan kerana mencuba membunuh orang. 

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut di atas tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Hafez Bin A. Razak di talian 012- 9677525 dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian yang tidak berasas. 

Menurutnya, siasatan terperinci akan dijalankan dari pelbagai sudut dan hasil siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pertuduhan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan