Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lavinia Kho (kanan) menjulang trofi antarabangsa pertamanya pada Terbuka Malaysia 2023 manakala Rafiq Ismail (kiri) muncul juara lelaki.

Lavinia Kho, pemain wanita Sarawak pertama julang Terbuka Malaysia

ByFirdaus Ismail

PETALING JAYA, 3 Jun: Remaja berasal dari Kuching, Lavinia Kho mencipta sensasi apabila muncul sebagai pemain wanita pertama dari Sarawak yang menjuarai Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia di Sunway Megalanes, di sini hari ini.

Lebih menarik, gadis berusia 18 tahun ini menewaskan beberapa bekas juara dunia dari Malaysia, Singapura dan Filipina dalam laluannya bergelar juara pertandingan yang memasuki edisi ke- 41 tahun penganjurannya itu.

Lavinia bersama Naib Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS), Robert Lu (kiri) dan jurulatihnya, Angelo Koay (kanan) selepas muncul juara Terbuka Malaysia 2023 hari ini. Foto: Firdaus Ismail (TVS)

Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 itu mara ke peringkat step ladder selepas menduduki tempat ketiga dalam aksi kelayakan pagi tadi.

Pada step ladder pertama, dia menumpaskan pemain kebangsaan, Nora Lyna Nastasia dengan keputusan 212-204 pin untuk ke pentas akhir menentang Colleen Pee dari Singapura.

Lavinia yang di ambang kekalahan berjaya bangkit apabila melakukan 194 pin berbalas 176 oleh lawannya sekali gus mengheret ke perlawanan kedua.

Gelaran juara sah menjadi milik Lavinia apabila dia berjaya mengekalkan balingan konsisten dengan menjatuhkan 207 pin berbanding 177 oleh pencabarnya.

SUKMA : Sasar ‘top 10’ namun Lavinia menang emas untuk Sarawak

Katanya, dia tidak menyangka mampu menang kerana hanya menyasarkan untuk tidak menamatkan saingan di tempat tercorot dalam kalangan 16 peserta hari ini.

“Sebenarnya saya bersikap lebih tenang sepanjang perlawanan kerana sasaran awal untuk melakukan yang terbaik tetapi ia bertukar sebaliknya apabila saya mara ke final dan menang,” katanya kepada TVS.

Lavinia berkata, dia juga mendedikasikan kejayaan itu kepada jurulatihnya, Angelo Koay yang menyambut hari lahir pada hari ini dan membantunya ketika saat kritikal menentang pemain Singapura.

SUKMA : Hayunan emas Lavinia dan Nur Hazirah gegarkan gelanggang boling 

Katanya, beberapa perubahan dilakukan oleh Angelo termasuk menukar bola sebanyak dua kali bagi menyesuaikan dengan keadaan minyak di permukaan lorong.

“Saya juga memberitahu diri sendiri supaya tunjukkan mutu permainan yang bagus dan jika itu dapat dilakukan, saya boleh bersaing dengan pemain lain,” katanya.

Selaku juara, Lavinia membawa pulang trofi dan wang tunai RM25,000.

Semalam dia turut menjuarai kategori graded wanita dan meraih RM5,000 yang ditawarkan.

Boling Terbuka Malaysia, lapan pemain Sarawak mara ke final

Sementara itu kategori lelaki menyaksikan penguasaan penuh Malaysia apabila Rafiq Ismail muncul juara selepas menewaskan rakan sepasukan, Hafiz Zainuddin dengan keputusan 191 berbalas 157 pin. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan