Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar fail menunjukkan pemain boling Sarawak meraikan kejayaan SUKMA 2022 di gelanggang sama yang digunakan untuk Terbuka Malaysia 2023. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Boling Terbuka Malaysia, lapan pemain Sarawak mara ke final

ByFirdaus Ismail

PETALING JAYA, 2 Jun: Lapan pemain boling Sarawak mara ke final Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2023 yang akan berlangsung esok di Pusat Boling Sunway Megalanes, Bandar Sunway.

Mengetuai senarai ialah juara Pesta Antarabangsa Pulau Pinang 2022, Abang Afiq Yazid Abang Azman yang menduduki tempat teratas pemain tempatan pada pusingan kelayakan.

Lebih menarik, Abang Afiq Yazid merupakan pemain tunggal pada kejohanan ini yang berjaya merekodkan catatan melebihi 1,500 pin apabila mengumpul 1,504 pin.

Ini hadiah Hari Gawai – Nur Hazirah

Turut mara Tsen Fan Yew yang menduduki tempat kedua manakala pemain berasal dari Miri, Musayyar Khalid di tangga keempat.

Mereka akan disertai oleh Chong Jun Foo yang berjaya melepasi saingan sengit final pertama pagi tadi dengan menduduki tempat ke-15.

Atlet Sarawak juara Boling Antarabangsa Pesta Pulau Pinang

Sementara itu, Abang Afiq Yazid berkata, dia berazam untuk mengekalkan rentak cemerlangnya apabila turun ke gelanggang pagi esok serta mengintai peluang untuk muncul juara.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, sebelum menguasai kedudukan teratas, dia sebenarnya berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keadaan lorong pada hari pertama dan kedua kejohanan.

“Selepas berbincang dengan jurulatih, saya dinasihatkan untuk membuat beberapa perubahan termasuk aspek teknikal dan peralatan, akhirnya saya berjaya membuat hayunan yang lebih baik.

“Sasaran esok semestinya mahu muncul juara kerana Terbuka Malaysia hanya berlangsung sekali dalam tempoh setahun,” katanya.

Sementara itu, Nur Hazirah Ramli yang mengungguli kategori remaja perempuan semalam berpeluang menambah koleksi kejuaraan apabila mara ke final selaku pemain kedua terbaik.

Ini hadiah Hari Gawai – Nur Hazirah

Nur Hazirah mencatatkan 1,434 pin dan menerima bye pada final pertama hari ini.

Pemenang emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, Lavinia Kho juga mengesahkan slot selepas menamatkan final pertama hari ini di kedudukan ketiga dengan 1,724 pin.

Dua pemain Sarawak yang kini bersama pasukan kebangsaan, Gillian Lim dan Nerosha Keligit turut layak beraksi esok.

Juara kategori terbuka lelaki akan menerima hadiah wang tunai RM45,000 manakala RM25,000 menanti juara wanita.

Kejohanan kali ini disertai lebih 200 peserta termasuk dari Singapura, Thailand, Indonesia, India, Hong Kong, Australia, Filipina, Kemboja, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan