SARATOK, 2 Jun: Dua orang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya di Jalan Berayang dekat sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Voon Kuet Pin, 55, dan Wong Hung Ling, 41 tahun.
Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.06 petang.
Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipercayai terbabas dan terbalik ke dalam longkang di tepi jalan.
“Pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok yang dikerahkan ke lokasi kejadian mendapati kesemua mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya.
Semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Hospital Saratok namun dua daripada mereka telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dua mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut yng ditamatkan pada jam 5.16 petang.