KUCHING, 2 Jun: Bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan alga yang dihasilkan di Sarawak mampu mengurangkan jejak karbon sehingga 80 peratus.
Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ts Dr Wan Nor Roslam Wan Ishak berkata, sekiranya SAF itu digunakan secara meluas oleh sektor penerbangan global, ia akan membawa kesan positif kepada alam sekitar.
Sehubungan itu beliau yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM berkata, langkah Sarawak menghasilkan SAF tepat pada masanya berikutan peningkatan gas karbon dioksida dalam udara dikesan sejak 1950-an lagi.
“Pada 2021, sebanyak 321 juta tan gas berkenaan telah dibebaskan ke udara,” katanya kepada TVS.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengoperasian Loji Jana Kuasa Alga dan Chotose Carnon Capture Central di Sijingkat, Sarawak pada 10 Mei lepas yang membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak ke arah polisi ekonomi hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru – baru ini turut menguji SAF dihasilkan di Sarawak apabila terbang ke Langkawi menaiki pesawat yang menggunakan bahan bakar mesra alam itu.
Berhubung keupayaan SAF melestarikan alam sekitar, Wan Nor Roslam berkata, ia bergantung kepada bahan mentah dan juga teknologi yang digunakan.
“SAF boleh mengurangkan kitaran hayat pelepasan gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida secara mendadak berbanding bahan api jet konvensional.
“Sebagai contoh SAF yang dihasilkan dari sumber mikro alga mampu memerangkap sehingga 1.8 kilogram (kg) karbon dioksida bagi setiap kg biojisimnya manakala kadar keberkesanan pemerangkapan gas karbon dioksida oleh mikroalga juga boleh mencapai sehingga 90 peratus,” katanya.
Beliau turut berkongsi yang SAF berkeupayaan lebih tinggi juga boleh dihasilkan menerusi pelbagai kaedah namun wujud beberapa cabaran tertentu.
“Penghasilan produk SAF secara terus menggunakan sumber gas karbon dioksida dari industri atau diperangkap dari persekitaran mampu memberi kesan yang lebih signifikan namun proses tersebut memerlukan sumber gas hidrogen yang murah dan banyak,” katanya.
Sementara itu, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Aila Abdul Latif berkata, langlah Kerajaan Sarawak meneroka ekonomi baharu merupakan satu keperluan serta selaras dengan perubahan teknologi semasa.
Pada masa akan datang, beliau turut mencadangkan agar Sarawak terus memanfaatkan potensi dimilikinya dengan meneroka ekonomi biru yang berkaitan dengan industri maritim.
“Ianya bertepatan dengan usaha mempelbagaikan kegiatan ekonomi kerana kita perlu meletakkan keseimbangan di antara melindungi alam sekitar dan membangunkan ekonomi.
“Seiring dengan perlaksanaan global untuk mengurangkan pencemaran karbon sekali gus mengurangkan kes perubahan iklim yang semakin ketara dirasai sejak akhir akhir ini,” katanya. -TVS