KUCHING, 1 Jun: Kerana menegur empat individu yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan perumahan Tabuan Jaya di sini, seorang Timbalan Menteri Sarawak dikasari menyebabkannya calar dan kesakitan pada bahagian belakang badan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata empat suspek berkenaan dipercayai warga tempatan dan kejadian berlaku pada 9.06 malam, 30 Mei.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat Timbalan Menteri berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.
“Dalam aduan beliau mendakwa telah melihat empat suspek dipercayai warga tempatan dalam keadaan mencurigakan serta menegur mereka.
“Salah seorang mereka tidak berpuas hati dengan teguran yang diberikan telah cuba menyerang dan mengasari beliau sehingga mengakibatkan kecederaan calar dan kesakitan pada bahagian belakang badan,” katanya menerusi satu kenyataan, malam ini.
Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya dan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Polis masih menjejaki suspek dan beliau memohon agar orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes ASP Rathna Borhan di talian 019-8176267. – TVS