BINTANGOR, 1 Jun: Menjelang musim perayaan Hari Gawai, pemandu jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan dan sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata orang ramai juga perlu memeriksa kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan agar selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Menurutnya, sikap saling bertolak ansur dan bertimbang rasa penting bagi mencegah berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Jika dibandingkan tahun lepas, ada peningkatan kes membabitkan kehilangan nyawa akibat kemalangan. Jadi saya berharap semua pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan pastikan rehat mencukupi sebelum memulakan pemanduan terutamanya pada musim perayaan Gawai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir pada Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Hari Gawai Peringkat Bahagian Sarikei 2023 di Bintangor, semalam.
Kuong Hiing menegaskan, setiap pengguna jalan raya perlu menanam sikap sabar, berdisiplin semasa memandu dan patuh kepada undang-undang jalan raya.
Tambahnya lagi, tanpa kerjasama semua pihak, hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan pasti tidak akan tercapai walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan. – TVS