KUALA LUMPUR, 30 Mei: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi beberapa keping gambar semasa sesi menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya hari ini.
Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar menjunjung kasih kepada Sultan Mizan atas perkenan baginda menerima beliau menghadap tengah hari tadi.
Perdana Menteri berkata pada sesi menghadap itu, beliau menyembah maklum perkembangan terkini berhubung pembangunan negara dan negeri Terengganu kepada baginda.
Anwar turut mendoakan semoga Sultan Mizan serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
Ini adalah kali kedua Anwar menghadap Sultan Mizan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November tahun lepas. Kali pertama adalah pada 12 Januari lepas di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.