KUCHING, 30 Mei: Menjelang sambutan perayaan Hari Gawai yang bakal kunjung tiba, pengangkutan awam seperti bas sudah tidak asing lagi digunakan oleh orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Tinjauan wartawan TVS di Stesen Bas Kuching Sentral mendapati orang ramai telah mula memenuhi stesen bas dan jualan tiket lebih memberangsangkan berbanding perayaan sebelum ini.
Marina Kadir, 63, salah seorang penyelia tiket bas yang ditemui memberitahu pada kali ini sebanyak tiga bas tambahan telah disediakan untuk orang ramai pada musim perayaan Gawai ini.
“Bermula 26 Mei, bas kami telah mulai penuh. Kami telah membuka tiga bas tambahan ke Sibu sahaja pada jam 8 malam, 9.15 malam dan 9.45 malam. Kami juga menjual tiket bas menuju ke Miri, Bintulu, Mukah dan Kapit. Kami mula menjual tiket bas bermula 1 Mei dan kebanyakan membeli tiket bas untuk 25 Mei semasa bermulanya cuti sekolah,” katanya.
Selain itu, tambah seorang lagi penyelia tiket bas, Abdul Malik, 37, faktor sambutan tiket bas pada perayaan Gawai pada kali ini adalah disebabkan oleh musim cuti sekolah yang panjang.
“Sambutan pada Gawai ini memang meriah sehingga bas tidak mencukupi, tiket bas dari pagi sehingga malam semua laris dijual. Kami terpaksa membuka bas tambahan tetapi tidak juga mencukupi.
“Kebetulan sambutan Gawai jatuh pada cuti sekolah, jadi lebih ramai yang hendak pulang kampung. Bermula 27 Mei sehingga esok, bas semuanya penuh.Kami juga sentiasa memastikan bas dalam keadaan yang baik dan pemandu bas dalam keadaan sihat agar keselamatan penumpang bas kami terjamin,” katanya.
Cuti umum Gawai Dayak diwartakan pada 1 Jun 1965 dan menjadi simbol perpaduan dan harapan agar masa depan yang lebih baik bagi komuniti Dayak. – TVS