KUCHING, 30 Mei: Hendak seribu daya, kekurangan yang dimiliki Asyhafiq Bujang, 34, bukan penghalang buat dirinya untuk mengait permaidani dengan motif Sarawak tanpa menggunakan mesin.
Pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu itu, malah sanggup berjaga malam sehingga terlupa untuk mengisi perut bagi menyiapkan tempahan permaidani yang diterima.
Asyhafiq mula berjinak dengan seni mengait moden atau ‘tufting’ setelah mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 2014 dan mendapat galakan daripada gurunya untuk berkecimpung dalam perusahaan kraftangan itu.
Menurut ibunya, Melati Julin, 58, pada awalnya Asyhafiq belajar mengait permaidani dengan corak kartun pilihannya seperti Garfield dan rama-rama hanya menggunakan jarum pengait sahaja.
Kemudian, bagi membolehkan kraf anaknya itu menjadi salah satu produk pelancongan yang memiliki identiti masyarakat Bumi Kenyalang, Melati telah memperkenal motif etnik negeri kepada Asyhafiq.
Antaranya ialah motif Pua Kumbu, Kerawit serta aso dan naga.
“Dia meniru corak daripada buku yang saya beli dan cuba melukisnya di atas surat khabar. Perlahan dia mengait di atas jaring permaidani dan kini gemar dengan motif etnik.
“Lama kelamaan ada yang berminat dengan permaidani yang dikaitnya. Saya turut mempromosi produk kraf anak saya ke Facebook dan tidak sangka ramai yang mahu membuat tempahan,” katanya ketika ditemui TVS.
Tambah Melati, Asyhafiq juga sering diberi peluang untuk membuka reruai di pelbagai program pelancongan negeri dan berjaya menarik perhatian pelancong dari luar negara seperti Korea Selatan dan Filipina.
Kraftangannya itu turut menjadi pilihan agensi dan badan kerajaan untuk dihadiahkan sebagai cenderahati kepada orang-orang kenamaan.
Melati yang merupakan pesara jururawat berkata, dia tidak menyangka anaknya yang serba kekurangan itu mampu sampai ke tahap itu dan gembira kerana tidak pernah lelah memberikan sokongan kepada Asyhafiq.
“Dulu kalau nak gunting benang pun dia sanggup tunggu saya balik dari kerja. Sampai sahaja di rumah, dia terus menyua benang dan gunting untuk dipotong kerana ingin menyiapkan tempahan secepat mungkin. Sekarang dia dah boleh berdikari, saya juga sudah bersara jadi ada banyak masa untuk membantu,” katanya.
Oleh itu, Melati menasihati agar para ibu bapa yang memiliki anak kurang upaya untuk terus memberi sokongan kepada mereka dan tidak memandang rendah terhadap kemampuan anak-anak.
Dia turut memberi galakan kepada ibu bapa untuk mendapatkan bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu anak-anak dari segi kewangan.
Asyhafiq merupakan seorang penerima bantuan kewangan Geran Pelancaran One Off Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM5,000 bagi memulakan perusahaan krafnya. – TVS