MIRI, 30 Mei: Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang dianjurkan Kerajaan Sarawak merupakan platform terbaik dalam menyampaikan inisiatif-inisiatif kerajaan kepada rakyat Sarawak.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Kerajaan Sarawak telah merangka pelbagai program yang akan dijalankan di seluruh bahagian di Sarawak.
“Ini merupakan medium bagi menyampaikan inisiatif-inisiatif Kerajaan Sarawak dalam mencapai kemakmuran, keharmonian serta perpaduan seiring dengan pembangunan yang mampan khususnya di Bahagian Miri ini.
“Ia juga merupakan landasan dalam menyemai semangat jati diri yang setia kepada negara dan pada masa yang sama memperkukuhkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Gawai Raya Bahagian Miri bersempena dengan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Kompleks Islam Sarawak Miri semalam.
Kim Shin turut memberitahu jasa dan pengorbanan barisan pemimpin-pemimpin dahulu haruslah dihargai dan tidak dilupakan.
Malah, legasi itu tegasnya, perlulah diteruskan oleh setiap lapisan masyarakat di Sarawak.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memajukan Sarawak dengan meningkatkan produktiviti, taraf ekonomi, sifat berdaya saing selari dengan perkembangan modal insan di dalam masyarakat di Sarawak.
“Seperti pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 menjurus kepada pembangunan teknologi, inovasi, ekonomi hijau dan biru dan lain-lain sektor ekonomi yang sama penting untuk meningkat taraf hidup anak-anak Sarawak,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau menyeru perpaduan haruslah dipelihara untuk bergerak maju serta progresif bagi memastikan Sarawak terus maju dan makmur.
Terdahulu, peserta Konvoi Kembara Sarawak Merdeka tiba di Miri kira-kira 3.20 petang dan akan berhenti seketika dalam memberi laluan kepada Sambutan Perayaan Gawai Dayak yang bakal menjelma tidak lama lagi dan akan disambung semula pada 10 Jun kelak. – TVS