KUCHING, 29 Mei: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan diumumkan pada 8 Jun ini (Khamis).
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan calon sekolah boleh mendapatkan keputusan daripada sekolah masing-masing mulai 10 pagi.
Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022 mulai 10 pagi pada 8 Jun sehingga 6 petang pada 14 Jun.
Calon juga boleh mendapatkannya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.Â
Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi pada 8 Jun 2023 sehingga pukul 6 petang pada 14 Jun 2023.
Seramai 403,637 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2022 di 3,355 pusat peperiksaan di seluruh negara dan seramai 131,318 petugas peperiksaan dilantik bagi keseluruhan peperiksaan ini. – TVS