PENAMPANG, 28 Mei: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyalurkan sejumlah RM50 juta bagi tujuan pembiayaan francais dan pra-francais.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, penyaluran pembiayaan tersebut bukan sahaja melahirkan ramai usahawan, malah turut membangunkan jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata, Pernas juga turut menyediakan ekosistem keusahawanan yang kondusif dengan menawarkan produk-produk dan perkhidmatan yang bersesuaian kepada para usahawan.
“Produk – produk yang ditawarkan oleh Pernas adalah menyeluruh dan ia merangkumi keperluan kepada francaisor, francaisi dan pra-francaisor.
“Antaranya ialah skim pembiayaan francais, pra-francais, mikro serta pengurusan hartanah dan pembiayaan ekuiti,” katanya dalam ucapan ketika menghadiri majlis penjenamaan semula Mok Corner.
Benedick berkata, setakat ini Pernas telah menyalurkan sejumlah RM428 juta pembiayaan francais kepada 2,162 usahawan di seluruh negara.
Pernas dan Mok Corner telah terjalin sejak 2014, melalui bimbingan Pernas, Mok Corner berjaya mendapat lesen francais pada tahun 2016.
Bermula dengan outlet kecil yang dibuka pada tahun 2008 di Beaufort, kini Mok Corner mempunyai 39 outlet yang mana 18 cawangan dijalankan oleh francaisi dan selebihnya dimiliki oleh Mok Corner Sdn Bhd. – TVS