KUCHING, 28 Mei: Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) baru-baru ini menandatangani Perjanjian Perkongsian Faedah (BSA) dengan tiga komuniti Melanau di bawah projek penghasilan minyak sekiu semalam.
Perjanjian yang diadakan di SBC itu adalah bagi memastikan perkongsian manfaat yang adil dan saksama diperoleh daripada penghasilan minyak sekiu tersebut.
Menurut Ketua Kaum Kampung Penibong Daro, Jahari Masani, menerusi perjanjian tersebut, penduduk kampung yang terlibat dengan penghasilan minyak sekiu akan mendapat faedah daripada hasil jualan tersebut.
Tiga komuniti Melanau yang terlibat ialah komuniti Kampung Jemoreng Hulu, Kampung Jemoreng Hilir di Matu dan Kampung Penibong, Pulau Bruit di Daro.
Minyak sekiu berasal daripada biji pokok yang dikenali sebagai pokok sekiu yang hanya tumbuh di kawasan tengah Sarawak khususnya di Kampung Jemoreng, Mukah.
Pokok sekiu sukar ditemui dan hanya berbuah dalam tempoh tiga atau empat tahun sekali terutamanya pada Oktober, November dan Disember.
Disebabkan proses yang rumit dan bahan mentah yang sukar ditemui serta mempunyai khasiat yang banyak menjadikan minyak sekiu dijual dengan harga yang tinggi.
Terdahulu, Pusat Biodiversiti Sarawak telah membuat beberapa kajian mengenai minyak sekiu dan mendapati minyak tersebut mempunyai kandungan vitamin E dan oleic acid yang dipercayai mampu mengurangkan tekanan darah tinggi. – TVS