KUCHING, 28 Mei: Bagaikan pesta mini, orang ramai memberhentikan kereta di tepi jalan semata-mata ingin mengambil gambar dan merakam video di bawah pohon Tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia rosea.
Cuaca panas terik tidak menghalang mereka meluangkan masa kira-kira setengah jam di sepanjang kira-kira 500 meter di Jalan Sultan Tengah berdekatan simpang ke Kampung Buntal.
Kelopak bunga Tekoma berwarna putih dan merah jambu yang berguguran ditiup angin pada tengah hari ini menyajikan pemandangan begitu indah dan seolah-olah berada di luar negara.
Sejak semalam, netizen berkongsi gambar dan video tentang keindahan pokok Tekoma yang lazimnya berbunga ketika cuaca panas setiap tahun.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Bujang, berkata pemandangan indah sepanjang jalan berkenaan setiap tahun memang dinantikan orang ramai.
“Orang ramai yang dalam perjalanan ke pantai di Damai dan Santubong akan berhenti di tepi jalan kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk merakam detik-detik kelopak bunga berguguran dan menutupi tepi jalan,” ujarnya ketika ditemui TVS, hari ini.
Menurut carian di Internet, Tekoma merupakan sejenis pokok yang memerlukan cuaca kering untuk berbunga penuh ini berasal dari Amerika Tengah dan Selatan.
Nama pentaphylla adalah merujuk kepada lima daun di setiap tangkai, iaitu ‘penta’ bermaksud ‘lima’ manakala ‘phylla’ pula bermaksud daun dalam bahasa Latin.
Ia juga dipanggil ‘pokok kertas tisu’ disebabkan kelopak bunga yang tipis manakala di negara-negara Amerika Selatan ia digelar ipe rosa. – TVS