IPOH, 27 Mei: Seorang pesara berputih mata setelah wang miliknya berjumlah RM845,450 lesap dipercayai ditipu sindiket ‘Phone Scam’ di sini.
Lelaki berusia 74 tahun itu membuat laporan polis semalam apabila menyedari dirinya menjadi mangsa selepas terjerat dengan sindiket tersebut pada 9 Mei lalu menerusi panggilan telefon.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika berada di rumahnya di sini.
Katanya, mangsa dimaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas namanya di Melaka.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada dua individu kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka serta mangsa diberitahu dia terlibat kes penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram.
“Suspek ketiga bergelar Datuk kemudian mengarahkan mangsa melaporkan maklumat akaun bank dan pergerakannya dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Mohd Yusri, akibat terpedaya dengan arahan suspek, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM845,450 menerusi mesin deposit tunai (CDM) ke dalam 14 akaun bank.
“Ia dibuat secara berperingkat ke dalam akaun atas pelbagai nama pemilik akaun bank dalam tempoh 10 hingga 19 Mei kononnya bagi tujuan semakan.
“Suspek juga memberi tempoh sebulan untuk mangsa menjual rumahnya selain mengarahkan dia tidak memaklumkan hal itu kepada pihak ketiga,” katanya lagi.
Mohd Yusri menambah, kejadian itu bagaimanapun terbongkar selepas mangsa meminta rakannya mencari ejen bagi menjual rumah sebelum dia menyedari ditipu dan tampil membuat laporan polis semalam. – TVS