LAWAS, 26 Mei: Budaya politik kotor yang dihebahkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab perlu ditolak rakyat di negeri ini kerana dikhuatiri boleh menganggu gugat perpaduan kaum yang sedia wujud.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perpaduan kaum, budaya dan saling menghormati antara rakyat berbilang kaum tidak boleh digadai dengan permikiran negatif yang hanya mementingkan satu kelompok atau kumpulan tertentu.
Menurut beliau rakyat Sarawak sejak sekian lama hidup harmoni di bawah satu bumbung tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan latar belakang perlu terus dipertahankan.
“Sekarang kita lihat ramai anak-anak Sarawak yang lahir daripada perkahwinan campur antara kaum dapat terus hidup harmoni dan saling menghormati.
“Kita adalah masyarakat Sarawak yang saling memahami adat resam, agama dan budaya. Maka jangan kita guna politik dan pemikiran negatif untuk menghancurkan sesuatu yang telah kita bina sejak sekian lama,” ujarnya pada Sambutan Pra Gawai Peringkat Daerah Lawas di Rumah Munit Entalang dekat Kampung Lumut Laut pada Sabtu.
Turut sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Hii Chang Kee, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawa,k Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Residen Bahagian Limbang, Yunus Haji Tambi dan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak itu menjelaskan turut mengulangi bahawa penggunaan kalimah Allah di Sarawak bukan sesuatu yang baharu.
Sebaliknya tegas beliau keadaan ini jauh berbeza dengan di Semenanjung Malaysia yang melihat perkara ini sebagai sesuatu yang negatif dan menjadi mainan politik.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu turut menyelar perbuatan mempermainkan berbagai isu sensitif untuk kepentingan satu kelompok demi kepentingan diri dan politik.
Beliau menegaskan bahawa politik adalah asas penting dalam menentukan masa depan rakyat dan Sarawak secara keseluruhannya.
“Jadi jangan main-main, kadang-kadang ada yang masuk hasutan politik, masa pilihan raya saja dan selepas itu lepas tangan,” tegasnya.-TVS