KUCHING, 26 Mei: Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyediakan keperluan and kemudahan yang selesa untuk rakyat di negeri ini khususnya penyediaan rumah ibadat yang selesa.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata Sarawak akan terus menyediakan keperluan dan kemudahan kepada penganut agama selain Islam seperti rumah ibadat menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Kita di Sarawak cukup bertuah kerana kerajaan mengambil berat terhadap menyediakan rumah ibadat untuk memenuhi keperluan ibadah mereka.
“Bermula daripada janji Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem pada tahun 2016, namun tidak sempat dilaksanakan oleh beliau dan kemudian diteruskan oleh kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menunjukkan komitmen kerajaan menyediakan peruntukan sehingga ratusan juta untuk keperluan rumah ibadat seperti gereja dan tokong.
“Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah menubuhkan Lembaga Amanah Kebajikan UNIFOR yang berperanan untuk menjana pendapatan.
“Hasil pendapatan dari amanah ini akan digunakan semula oleh gereja-gereja dan tokong-tokong untuk melaksanakan aktiviti keagamaan dan pendidikan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran untuk tapak pembinaan Bangunan Gereja St Basil, Batu Kawa di sini hari ini.
Menurutnya perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak harus dikekalkan agar tidak timbul isu-isu yang boleh menimbulkan kekecohan.
“Isu-isu seperti penggunaan kalimah Allah seperti di semenanjung tidak berlaku di Sarawak sebab kita saling memahami antara satu sama lain. Semangat perpaduan ini wajar diteruskan.
“Misalnya baru-baru ini saya menghadiri satu majlis di SMK Batu Kawa, guru-guru dan murid-murid merayakan tiga perayaan sekali gus iaitu Hari Guru, Hari Raya Aidilfitri dan sambutan pra-Gawai,” tambahnya.
Sementara itu, kos pembinaan projek bangunan di St Basil Batu Kawa ialah RM6.2 juta dan telah mula dibina pada Disember 2021 bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.
Bangunan baru ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna, bilik darjah dan perpustakaan.-TVS