Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUALA LUMPUR, 31 Mei -- Orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di Jalan Bukit Bintang hari ini. Bermula esok, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun 'total lockdown' Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bekalan Makanan Mencukupi Sepanjang Tempoh ‘Total Lockdown’

ByBernama

PUTRAJAYA: Sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya adalah perkhidmatan perlu yang dibenarkan terus beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata langkah susulan dan persediaan akan dilaksanakan bagi memastikan semua rangkaian dan rantaian dalam aktiviti sektor pertanian dan industri makanan termasuk ekosistemnya, tidak terjejas sepanjang pelaksanaan PKP penuh bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan dan jaminan sekuriti makanan negara.

“MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) amat komited untuk memastikan rangkaian dan rantaian bekalan makanan di Malaysia kekal berada di tahap yang stabil, mencukupi dan terkawal selain akses yang sentiasa tersedia kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ronald, berasaskan data bekalan komoditi ternakan, bekalan daging, ayam, telur dan susu dijangkakan mencukupi untuk keperluan negara.

Untuk bulan Jun, stok bekalan daging lembu dan kerbau dianggarkan sebanyak 22,590.58 tan metrik, bekalan daging ayam sebanyak 125,067.61 tan metrik, manakala bekalan telur ayam pula dianggarkan sebanyak 976,847,250 biji dan bekalan susu segar adalah sebanyak 4,147,608.10 liter.

Ronald juga berkata MAFI menganggarkan keperluan sebanyak 100,000 hingga 150,000 tan metrik beras dalam tempoh 14 hari pelaksanaan ‘total lockdown’ yang mana jumlah itu termasuk andaian sekiranya berlaku pembelian panik oleh orang ramai.

“Bekalan keperluan ini dapat ditampung berdasarkan kedudukan stok beras semasa sebanyak 764,000 tan metrik pada masa ini yang berada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.

Bagi menjamin bekalan dan pengeluaran beras berterusan dan tidak terganggu, beliau berkata MAFI akan memastikan proses penanaman padi dan operasi kilang padi dan beras beroperasi pada kadar yang dibenarkan mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN.

Ini termasuklah kebenaran pengedaran input pertanian seperti baja, benih padi dan penggunaan jentuai di sepanjang tempoh tersebut, katanya.

Penanaman dan penuaian padi sedang berjalan di beberapa negeri seperti di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu pada masa ini.

Beliau berkata pengedaran beras di peringkat pemborong dan peruncit juga dibenarkan untuk beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN bagi memastikan setiap pelusuk daerah dan kawasan tidak akan terjejas bekalan makanan utama.

Katanya kedudukan stok semasa bekalan ikan negara pula berjumlah 185,000 tan metrik sebulan berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan metrik sebulan.

Beliau berkata sebanyak 89 pasar nelayan dan 33 Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) masih beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh ‘total lockdown’ fasa pertama, manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tertakluk kepada arahan pihak berkuasa tempatan dan SOP yang ditetapkan oleh MKN.

Bagi menjamin akses orang ramai terhadap keperluan bekalan makanan, Ronald berkata MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara yang terdiri daripada 24 Pasar Tani Kekal, tiga MyFarm Outlet, 14 Pusat Operasi FAMA dan dua Agrobazaar berbanding 63 lokasi yang dibuka semasa PKP 1.0 tahun lepas.

“Pengurangan ini adalah disebabkan oleh perlaksanaan SOP yang diperketatkan oleh MKN untuk menangani penularan gelombang ketiga Covid-19 yang kian meningkat,” katanya.

Ronald berkata pemain industri terlibat dinasihatkan berhubung dengan jabatan dan agensi di bawah MAFI untuk mendapatkan surat pengesahan beroperasi sepanjang tempoh ‘total lockdown’.

Orang ramai juga boleh mengakses laman web MAFI iaitu www.mafi.gov.my untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti, pengoperasian dan SOP PKP penuh fasa pertama atau menghubungi Bilik Gerakan MAFI di talian 03 88701664/1491 atau e-mel bilikgerakan@mafi.gov.my.

“MAFI akan terus komited dalam membantu para pemain industri dan juga golongan petani, penternak dan nelayan dalam memastikan sektor pertanian dan industri makanan tidak akan terjejas berikutan penutupan sektor ekonomi dan sosial,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan