SIBU, 25 Mei: Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila mengalami kerugian RM324,201 setelah menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil menerima satu laporan polis yang dibuat mangsa berusia 50 tahun pada Rabu.
“Semuanya bermula pada 20 Mac lalu, apabila mangsa melihat satu iklan dalam Facebook yang menawarkan pulangan keuntungan sehingga 50 peratus daripada pasaran saham.
“Teruja dengan itu, mangsa kemudiannya menghantar pesanan melalui WhatsApp ke nombor yang tertera di iklan tersebut dan diarahkan untuk memuat turun aplikasi (dalam telefon),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dari tempoh 18 April hingga 12 Mei, mangsa memindahkan sejumlah RM324,201 menerusi 11 transaksi ke tiga nombor akaun berbeza.
“Mangsa yang curiga dan menyedari dirinya diperdaya selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang diperolehi malah taliannya juga disekat.
Sehingga laporan dibuat mangsa tidak menerima sebarang pulangan atau keuntungan seperti yang dijanjikan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS