Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaaan Hari Gawai 2023 di Kuching, hari ini. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

2,500 peserta meriahkan Perarakan Gawai 2023

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 25 Mei: Seramai 2,500 individu mengambil bahagian dalam Perarakan Gawai 2023 yang bakal berlangsung pada 17 Jun depan, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, Perarakan Gawai berkenaan akan bermula dari Bangunan Tun Jugah dan akan berakhir di Tebingan Kuching sejauh 1.2 kilometer di Jambatan Darul Hana.

“Perbarisan tersebut dijadualkan berlangsung pada 3.30 petang dan ia akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Jawatankuasa penganjur menjangkakan penyertaan lebih 80 kontinjen terdiri daripada kira-kira 2,500 individu dan kontinjen ini terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan, persatuan kebudayaan Dayak, ketua masyarakat Dayak dan anggota Veteran Angkatan Tentera Malaysia.

“Individu dikenali sebagai Bujang Berani juga akan mengambil bahagian dalam perarakan itu,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Gawai Peringkat Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai dan Presiden Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak (FORUM), Kennedy Chukpai Ugon.

Mengulas lanjut, Uggah memberitahu, dua acara lain turut dianjurkan iaitu Makan Malam Gawai Dayak yang bakal berlangsung pada 7 Jun dan Bazar Gawai Dayak 2023 bakal berlangsung dari 16 hingga 25 Jun.

“Makan Malam Gawai Dayak akan berlangsung di BCCK dan tetamu kehormat yang akan hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Wan Azizah serta Abang Johari dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

“Manakala bagi Bazar Gawai Dayak akan berlangsung di pekarangan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“Ia akan menawarkan makanan tempatan dan aktiviti kebudayaan. Jawatankuasa penganjur menyasarkan 200 gerai tetapi kita berharap ia akan bertambah,” ujarnya.

Menurut Uggah, tema sambutan Gawai pada tahun ini ialah Segulai Sejalai yang bermaksud bersama dalam perpaduan yang menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan pelbagai masyarakat di Sarawak.

Masyarakat Dayak akan mula menyambut perayaan Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun ini – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan