KUCHING, 24 Mei: Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, peruntukan itu bertujuan untuk meningkatkan keupayaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.
@tvstvmy Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. TVS122 TVSNews #DUNSarawak TrendingNewsMalaysia BeritadiTiktok
Kata beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi kelulusan awal untuk peruntukan tambahan itu untuk menaik taraf infrastruktur dan memperkasa keselamatan negeri.
“Kerajaan negeri kini bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek tersebut,” jelas Abang Johari.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut memberitahu beberapa perkara telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) yang pertama pada 20 Januari lalu.
Antaranya kata beliau pelantikan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak sebagai wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak sebagai Jabatan Teknikal dan diberi kuasa untuk melaksanakan projek Persekutuan di Sarawak dengan had sehingga RM50 juta.
“Semakan Peruntukan Pemberian Khas Kewangan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk menambah jumlah Pemberian Khas untuk Sarawak sehingga RM300 juta dan menaik taraf ICQS di sempadan Sarawak-Kalimantan,” ujar Abang Johari.
Ujar Abang Johari, kerajaan persekutuan mengambil serius usaha menyelesaikan isu MA63 yang telah lama tertangguh. -TVS